DOSA DAN PAHALA
Baik Al –Quran maupun Hadis-hadis Rasulullah SAW sarat dengan peringatan sama ada yang berbentuk tegahan, larangan dari berbuat dosa serta yang mendorong serta menyuruh berbuat kebaikan untuk mendapatkan ganjaran pahala. Kalaulah kita dapat menyelami kalimat dosa dan pahala sepertimana kita memahami, minat dan suka kepada hadiah dan benci kepada denda dan hukuman, adalah pertanda baik bahawa kita tidak akan terbabas dari nilai agama dan masa. Justeru kita akan dapat menilai betapa beratnya menanggung dosa akibat perbuatan jahat, maksiat dan mungkar. Rasululullah SAW dalam sebuah hadisnya pernah menyebut bahawa dosa itu ialah sesuatu yang terasa dan terbuku di dalam hati. Sabda baginda yang bermaksud:
"….dan dosa itu ialah sesuatu yang merisaukan dirimu dan kamu tidak senang bila diketahui oleh manusia" (H. R Muslim)
Pahala tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan tidak pula dapat dinilai dengan angka atau bilangan. Cuma hati yang disinari keimanan saja dapat merasakan betapa ceria dan lapang apabila telah melaksanakan kebaikan.
Lain pula apabila melakukan dosa, hati akan diserang gelisah, takut dan tidak tenteram malah jiwa diselubungi sejuta penyesalan. Islam yang sifat ajarannya adalah untuk keselamatan dan kebahagian. Oleh kerana itu orang berbuat dosa, tetapi insaf, bertaubat nasuha, beristighfar dan menyesali segala kesalahan dan dosa, mereka akan mendapat ganjaran pahala yang besar dan dosa mereka akan diampun oleh Allah SWT. Sebagaimana maksud sabda Rasul SAW:
"Bertaqwalah kepada Allah dimanapun kamu beradadan ikutilah perbuatan buruk (kejahatan)dengan perbuatan baik, nescaya menghapuskannya. Bergaullah sesama manusia dengan akhlak yang baik" (H. R. At-Tirmizi)
Oleh itu kita sebagai muslim perlu sedar dan harus melihat bahawa perbuatan yang menerjunkan diri kepada dosa perlu ditinggalkan, sementara perbuatan dan amalan yang menjurus kepada pahala dan kebaikan semesti menjadi rebutan. Sebagaimana
Maksud firman Allah SWT:
" Maka berlumba-lumbalah kamu kepada kebaikan…" (Al-Baqarah : 148)
Kita mengakui bahawa sebagai manusia kita sudah pasti tidak sunyi dari kesilapan dan dosa, tetapi jangan sampai kenyataan ini menjadi dasar untuk kita melakukan dosa, sebab implikasi dosa amat berat untuk ditanggung oleh manusia, baik ketika di dunia apatah lagi untuk menanggung azab di akhirat.
islam itu indah
Komentar
Posting Komentar